إعلان

'SOLAT TIANG AGAMA'

Minggu ini, Al-Kuliyyah akan bersiaran langsung dari Studio C, Sri Pentas, Bandar Utama.



Bersama Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman (Eksekutif Dakwah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan) akan membincangkan tajuk ‘Solat Tiang Agama’. Ia sempena Isra’ Mikraj yang jatuh pada 10 Julai 2010 Masihi bersamaan 28 Rejab 1431 Hijrah.

Satu daripada pengajaran besar dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj ialah Allah S.W.T memerintahkan secara terus kepada Rasulullah S.A.W tanpa melalui Jibrail mengenai fardhu solat lima waktu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan seorang lelaki telah bertemu Rasulullah S.A.W lalu berkata: "Wahai Rasulullah!, tunjukkanlah kepada aku satu amalan yang membolehkan aku masuk ke syurga". Maka Baginda menjawab dengan bersabda : "Engkau hendaklah mengabadikan diri kepada Allah S.W.T, jangan menyekutukanNya dengan sesuatu pun, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardhukan dan keluarkanlah zakat serta berpuasa di bulan Ramadhan". Lalu orang itu berkata: " Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan menambah atau mengurangi sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. "Setelah orang itu beredar, Rasulullah S.A.W bersabda :"Siapa yang ingin melihat ahli syurga, maka lihatlah kepada lelaki itu".

Berdasarkan surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud :”Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Allah S.W.T telah menegaskan bahawa ibadah solat dapat mencegah pelbagai perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan harian. Namun apa yang nyata ialah ramai juga yang bersolat melakukan maksiat.

Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa akan cuba mengajak panelis membincangkan tajuk ini dengan lebih santai dan bermanfaat.

Jangan lupa saksikan siaran langsung Al-Kuliyyah pada Jumaat, 9 Julai 2010 jam 5 hingga 6 petang di TV3.