Minggu ini, Al-Kuliyyah akan bersiaran langsung dari Dataran Putra, Putrajaya.
Sempena sambutan Hari Belia Negara, Ustaz Zahazan Mohamed(Pendakwah) dan Dr. Irfan Khairi (Jutawan Internet) akan membincangkan tajuk ‘Kreatif Berakhlak'.
Ia bakal mengupas ciri-ciri belia yang cemerlang bukan sahaja dari segi pencapaian akademik dan sosial, malah turut menampilkan akhlak murni seorang Islam sebagai jati diri.
Baginda S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Tidak akan berganjak kaki anak Adam di Hari Kiamat, hingga disoal tentang empat perkara, iaitu usianya dihabiskan pada apa, masa mudanya diperjuangkan untuk apa, sumber hartanya dari mana dan ke mana dibelanjakan dan akhir sekali ilmunya dimanfaatkan untuk apa”. (Riwayat At-Tabrani)
Usia belia dan remaja adalah waktu paling penting dalam kehidupan manusia, ketika inilah manusia diberi kelebihan dari segi kekuatan fizikal dan mental.
Maksud firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 54 : "Allah menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas keadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa akan cuba mengajak panelis membincangkan tajuk ini dengan lebih santai dan bermanfaat.
Jangan lupa saksikan siaran langsung Al-Kuliyyah pada Jumaat, 14 Mei 2010 jam 5 hingga 6 petang di TV3.
Kepada warga Putrajaya dan sekitarnya, datanglah beramai-ramai memeriahkan majlis ilmu ini.
Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana sudi menaja Al-Kuliyyah pada minggu ini, khususnya kepada Ustaz Farid Hadi yang bertungkus lumus menjayakannya.
Dataran Putra, Putrajaya
Dataran Putra dan Masjid Putra