إعلان

'CARI MAKAN'

Minggu ini, Al-Kuliyyah akan bersiaran langsung dari Studio C, Sri Pentas, Bandar Utama.

Sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2010, Ustaz Muhammad Abdullah (Pendakwah) akan membincangkan tajuk ‘Cari Makan’.

Ia bakal mengupas mengenai adab mencari rezeki yang berkat menurut Islam.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang Fardu (seperti solat, puasa dll)". (Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi)

Baginda S.A.W. bersabda lagi yang bermaksud : “Sesungguhnya terdapat dosa-dosa yang tidak dapat dihapuskan dengan pahala solat, sedekah atau haji, namun ia dapat dihapuskan dengan kesusahan dalam mencari nafkah”. (Riwayat At-Tabrani)

Antara persoalan yang bakal diketengahkan adalah : Bagi golongan pekerja yang makan gaji, tanggungjawab utamanya adalah dengan majikan, namun bagaimana pula sekiranya mereka mencari rezeki tambahan dengan kerja sampingan. Apa syarat yang ditentukan Islam dalam perkara begini ?

Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa akan cuba mengajak panelis membincangkan tajuk ini dengan lebih santai dan bermanfaat.






Jangan lupa saksikan siaran langsung Al-Kuliyyah pada Jumaat, 30 April 2010 jam 5 hingga 6 petang di TV3.

'PUKAU'

Minggu lalu (16 April 2010), Al-Kuliyyah bersiaran langsung dari Studio C, Sri Pentas, Bandar Utama. Dengan gandingan Ustaz Hj. Abdul Rashid Ahmad (Pendakwah/Pengamal Perubatan Islam) dan Encik Helminiry Had Hj. Sabtu (Presiden Akademi Hipnosis Malaysia), Al-Kuliyyah kali ini membincangkan tajuk 'Pukau'. Ia mengupas mengenai ilmu pukau dan perbezaannya dengan hipnosis. Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa mengajak kedua-dua panelis membincangkan maksud ayat 102 Surah Al-Baqarah.
Menurut huraian Datuk Haji Muhammad Noor (Penyemak Kitab Tafsir Pimpinan Rahman) : "Ayat ini (102 Surah Al-Baqarah) menjadi dalil yang menunjukkan bahawa tiap-tiap sesuatu yang dijadikan Allah Ta'ala mempunyai kuasa tenaga yang terdapat dalam sesuatu benda itu.
Ilmu Sihir itu memang ada mengandungi hikmat yang Tuhan berikan bagi melahirkan sesuatu perkara yang dapat memberi sesuatu kesan seperti pembenci atau pengasih.
Sila rujuk penerangan seterusnya dalam Tafsir Pimpinan Rahman halaman 40 hingga 41.
Menurut Kamus Dewan, Hipnosis bermaksud keadaan seseorang yang kelihatan seperti tidak sedar tetapi masih boleh berkomunikasi dengan pihak yang menjadikannya demikian. Sementara pukau pula bermaksud jampi serapah yang digunakan untuk memabukkan orang atau membuat orang tidur lelap atau hilang akal, tak dapat berkata apa-apa.

Dari Kiri : Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa (Perantara), Encik Helminiry dan salah seorang penonton. Penonton telah dihipnosis.

Ustaz Abdul Rashid Ahmad

Penonton dari Wanita Bukit Sentosa, Rawang, Selangor dan Kumpulan Nur Sohabah, Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor





GAMBAR 'BAHAGIA HAKIKI'

Al-Kuliyyah telah selamat bersiaran dari Booth Kota Ilmu, Jom Heboh Teluk Danga, Johor Bahru pada 23 April 2010. Krew Al-Kuliyyah TV3 selamat sampai di Johor Bahru pada Khamis 22 April 2010 dan kami diberitahu penduduk tempatan, hujan lebat turun setiap petang di sini.
Petang Khamis itu, hujan lebat dan guruh petir memberikan gambaran yang menakutkan kepada kami untuk bersiaran langsung pada esok hari.
Pada tengahari Jumaat 23 April 2010, cuaca panas terik. Kami telah meninjau tapak booth Kota Ilmu bagi memastikan keadaan susun atur berjalan lancar. Pada jam 4 petang cuaca mendung dan kami berdoa kalau pun hujan turun, biarlah sederhana dan jauhilah kami dari petir guruh supaya tidak mengganggu sistem siaran langsung kami.
Alhamdulillah, semasa siaran langsung Al-Kuliyyah, hujan turun sederhana dan tiada petir guruh kedengaran. Selesai siaran, lebih kurang 6.15 petang, hujan turun selebat-lebatnya dan petir guruh berdentum. Kami bersyukur kepada Allah s.w.t. yang memberi kami peluang meneruskan syiar dakwahNya melalui Al-Kuliyyah.
Berikut adalah gambar suasana penonton dan perbincangan Al-Kuliyyah untuk tatapan semua.

Penonton Al-Kuliyyah dari Kumpulan Wanita Yasin, Johor




Penonton Al-Kuliyyah dari Generasi Kedua Felda Taib Andak, Kulai Jaya, Johor


Siaran Langsung Al-Kuliyyah dari Booth Kota Ilmu, Jom Heboh Teluk Danga, Johor Bahru


Perantara Al-Kuliyyah : Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa



Panelis Al-Kuliyyah (Dari Kiri) Ustaz Jazlan Abdullah dan Ustaz Hanafiah Abdul Razak


Gambar Sumbangan : Rozimalini Abdullah




'BAHAGIA HAKIKI'

Minggu ini, Al-Kuliyyah akan bersiaran langsung dari Booth Kota Ilmu di tapak Jom Heboh Teluk Danga, Johor Bahru, Johor.

Dengan gandingan Ustaz Jazlan Abdullah (Pendakwah) dan Ustaz Hj. Hanafiah Abdul Razak (Pegawai Syarie Jabatan Mufti Johor), Al-Kuliyyah kali ini akan membincangkan tajuk 'Bahagia Hakiki'.

Ia bakal mengupas erti sebenar bahagia dan tips untuk mendapat kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa". (Riwayat Ibnu Hibban)

Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa akan cuba mengajak kedua-dua panelis membincangkan tajuk ini dengan lebih santai dan bermanfaat.

Jangan lupa saksikan siaran langsung Al-Kuliyyah pada Jumaat, 23 April 2010 jam 5 hingga 6 petang di TV3.

Datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan majlis diskusi ilmu dan semoga keberkatan menjadi milik kita semua. Barakallahu Fikum.