إعلان

NABI NUH

Sejarah merakamkan, banjir besar melanda dunia dan ketika itu golongan beriman diselamatkan di dalam sebuah bahtera.

Setelah banjir surut, bahtera itu terdampar di sebuah bukit.

Al-quran dengan jelas menyatakan peristiwa banjir besar itu pernah berlaku dalam Surah Al Qamar ayat 11 – 13 yang bermaksud : Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (beserta pengikut- pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping- keping papan dan paku.

Banjir besar yang dimaksudkan itu berlaku di zaman nabi Nuh a.s. dan bahtera tersebut dibina dengan pengawasan dan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Setelah banjir surut, ahli arkeologi barat percaya, bahtera nabi Nuh a.s. tersadai di banjaran Ararat, Turki.













Kesan bahtera itu masih jelas kelihatan... ia seolah-olah sebuah bahtera yang amat besar pernah dicipta. Bahtera itu membawa nabi Nuh a.s., pengikut Baginda yang beriman dan haiwan ternakan.

Makam Nabi Nuh Di Karak, Beirut, Lubnan

Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 14 bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia di kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka yang zalim dibinasakan oleh taufan.

Pada tahun 1996, Kru jejak rasul menziarahi makam yang dikatakan milik Nabi Nuh a.s. di Beirut, Lubnan.













Sementara itu pada tahun 2003, satu lagi makam nabi Nuh a.s. ditemui kru Jejak Rasul di Cizre, Turki. Baginda wafat setelah golongan yang menentang baginda dihapuskan Allah s.w.t.














Makam Nabi Nuh Di Cizre

Dalam surah Nuh ayat 26, nabi Nuh berdoa : Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di muka bumi.


Makam Di Karak, Jordan

Pada tahun 2009, kru Jejak Rasul juga telah menemui makam yang didakwa makam nabi Nuh a.s. di Karak, Jordan.














Tiga makam di lokasi yang berbeza telah ditemui kru Jejak Rasul selama dua dekad pengembaraan. Di manakah lokasi sebenar makam nabi Nuh a.s dan dimana pula bahtera Baginda mendarat....?

Dalam pengembaraan kru Jejak Rasul mencari kesan sejarah nabi Nuh a.s., kami menjelajah ke beberapa lokasi. Pada tahun 1996, kru Jejak Rasul ke Dogubayazit, bandar paling timur di Turki.

Dogubayazit terletak berhampiran sempadan Iran dan Armenia.

Pekan Dogubayazit Satu ketika dahulu, Dogubayazit berperanan sebagai pusat perniagaan , ia menjadi persinggahan pedagang yang berulang-alik di antara benua Asia dan Eropah.

Bandar kecil ini masih dikunjungi orang luar yang ingin memasuki negara tetangga, Iran, melalui Turki.

Namun bagi Jejak Rasul untuk mengesan sejarah nabi Nuh, Dogubayazit menjadi tumpuan utama... ia didakwa lokasi pendaratan bahtera baginda.

Bukit Judi Pengkaji sejarah tidak sependapat mengenai lokasi sebenar pendaratan bahtera Nuh a.s.

Ada pihak mendakwa, bahtera tersebut tersadai di banjaran Ararat.

Bagaimanapun, tidak ada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan itu. Banjaran Ararat terletak 35 kilometer dari Dogubayazit.













Jika benar bahtera nabi Nuh tersadai di puncak ararat setinggi 5,000 meter, tugas mendakinya sudah tentu mencabar.

Namun kru Jejak Rasul merakamkan kesan tinggalan bahtera berhampiran banjaran Ararat yang didakwa sebagai bukit Judi.

Kajian Barat

Sejarah nabi Nuh dan bahtera Baginda turut menarik minat pengkaji barat.

Menurut sekumpulan ahli sejarah Barat, bahtera nabi Nuh diperbuat daripada kayu dan dibina kira-kira 2,500 tahun sebelum masihi.













Namun bagi umat Islam kajian ahli sejarah Barat itu bukanlah satu penemuan baru, Allah s.w.t. telah menerangkannya lebih 1400 tahun yang lalu dalam surah Al-Qamar ayat 13 : “Dan Kami bawa naik nabi Nuh a.s. beserta pengikut-pengikutnya di atas bahtera yang dibina daripada kepingan papan dan paku”.

Apa yang baru bagi umat Islam ialah hasil pemetaan ahli sejarah Barat, tentang panjang bahtera nabi Nuh, tinggi dan lebar bahagian tengahnya.

Ayat Al Quran Hud ayat 44 : Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas Gunung "Judi", serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim".

Al-Quran dengan jelas menyatakan selepas peristiwa banjir besar, bahtera nabi Nuh a.s. mendarat di bukit Judi.

Pada tahun 2003, kru Jejak Rasul kembali ke Turki bagi mencari bukit Judi yang sebenar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran.

Sungai Dajlah

Aliran sungai Dajlah atau Tigris menyuburkan bumi ini... ia pernah mencorakkan daerah Cizre seperti sebuah semenanjung satu ketika dahulu.














Masa berlalu merubah bentuk muka bumi dan sikap penduduk Cizre yang majoritinya berketurunan Kurdish. Mereka tidak lagi berperang untuk menguasai kawasan subur seperti generasi awal mereka sebelum Islam.

Tumpuan Jejak Rasul, mencari bukit Judi yang dimaksudkan Al Quran sebagai tempat Bahtera Nabi Nuh mendarat...

Dalam lidah tempatan, bukit Judi dikenali sebagai ‘Judi Dargh’ bermaksud gunung judi.

Ketinggiannya lebih 2000 meter atau hampir 7000 kaki. Namun ia bukanlah puncak tertinggi kerana puncak tertinggi di Turki ialah gunung Ararat.

Kitab Taurat menyebut.. Ararat sebagai lokasi pendaratan bahtera nabi Nuh a.s. tetapi Al Quran menamakan bukit Judi ialah lokasi pendaratan itu.

Sebenarnya, terdapat beberapa buah bukit Judi di negara ini...ia sebahagian daripada rangkaian banjaran Ararat.

Penduduk di sini yakin bahtera nabi Nuh a.s. mendarat di kawasan mereka.

Bagaimanapun kesan bahtera di bukit Judi ini tidak dapat dirakamkan atas faktor keselamatan.

Jejak Rasul menziarahi kompleks yang didakwa menempatkan makam nabi Nuh a.s.

Kompleks ini memperkukuhkan lagi dakwaan bahawa bahtera Nabi Nuh a.s. mendarat di kawasan ini.

Menurut penduduk awal Cizre mendakwa di sinilah makam nabi Nuh a.s. kerana kedudukannya terletak di bawah bukit Judi.

Kru Jejak Rasul dibenarkan membuat rakaman di dalam kawasan makam yang dianggap suci oleh penduduk tempatan.

Makam sepanjang enam meter ini sentiasa dijaga rapi bagi menjamin kehormatannya.













Di dalam bahasa Arab, Nuh bermaksud orang yang sentiasa menangis.

Nabi Nuh a.s. dikatakan sering menitiskan air mata ketika bermunajat kepada Allah kerana sikap umatnya.

Mereka tidak hanya menolak dakwah Baginda sebaliknya memukul dan merejam Baginda sehingga pengsan.

Baginda juga menangis kerana kehilangan isteri dan anak tersayang dalam peristiwa banjir besar itu...

Selain Cizre, Jejak Rasul pernah menemui sebuah lagi makam nabi Nuh di Jordan.

Pada tahun 1996 Jejak rasul mendaki sebuah bukit di Karak bahagian selatan Jordan.

Jejak Rasul dibawa menziarahi sebuah binaan berkubah hijau di puncaknya.

Menurut penduduk tempatan di sinilah makam nabi Nuh a.s., seorang rasul yang paling panjang tempoh dakwahnya.

Walaupun begitu, yang beriman hanyalah sebahagian kecil, Allah memusnahkan kaum Nuh yang derhaka dengan banjir besar.

14 tahun kemudian, kru Jejak Rasul sekali lagi mengunjungi makam yang sama pada tahun 2009.

Kunjungan ini dilakukan bagi mendapatkan gambaran baru daripada penduduk setempat.

Kawasan kubur di sekitarnya telah dibaikpulih dan kelihatan lebih tersusun rapi.














Sejarah merakamkan, setelah banjir surut dan bahtera selamat mendarat, nabi Nuh a.s. tidak turun tetapi terus tinggal di perut bahtera selama sebulan lagi.

Hanya pada 10 muharram, nabi Nuh a.s. dan pengikutnya keluar untuk memulakan hidup baru.

Catatan hidup baru nabi Nuh a.s. selepas tragedi tersebut dimulakan tanpa kehadiran isteri Baginda dan seorang anak lelakinya, Kan’an.

Mereka ditelan banjir sebagai hukuman ke atas kekufuran mereka. Nabi Nuh a.s. adalah generasi ke-10 selepas nabi Adam a.s.

Tetapi adakah bahtera baginda mendarat di sini dan benarkah makam ini kepunyaan baginda ?.

Jejak Rasul juga menemui sebuah lagi makam didakwa makam nabi Nuh a.s. di Beirut, Lubnan
.


















Panjang makam ini menjangkau 40 meter.

Nabi Nuh ialah keturunan ke 10 nabi Adam a.s. maka tidak mustahil jika ketinggian Baginda juga seperti nabi Adam a.s.

Pada era Nabi Nuh, manusia kembali mensyirikkan Allah.

Mereka berakhlak buruk, hidup dalam kemaksiatan dan hawa nafsu serta menentang usaha dakwah Baginda.

Hampir sepuluh abad, ketabahan nabi Nuh diuji dan Baginda tidak pernah berputus asa. Munajatnya kepada Allah menjadi penawar yang memberikan kelegaan. Akhirnya berlakulah tragedi banjir besar.

Para ulama sepakat, kejadian banjir besar dan bahtera Nabi Nuh menyelamatkan golongan beriman ialah peristiwa yang benar-benar berlaku. Namun tiada kepastian di manakah lokasi sebenar pendaratan bahtera nabi Nuh dan di mana pula baginda dimakamkan.

Jejak Rasul sekadar menjejak kesan sejarah tetapi Hanya Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui.