إعلان

NABI ADAM



Manusia sentiasa mengkaji dan mencari hakikat diri.

Tidak pernah puas dan tidak pernah menemui titik akhir asal kejadian manusia.

Manusia tidak akan menemui jawapannya sehingga menerima hakikat bahawa adanya Pencipta.

Yang mencipta itulah yang mengetahui hakikat kejadian diri manusia.

Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 14 yang mafhumnya : “Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui segala-galanya? Sedang ia amat halus urusan tadbirnya, lagi amat mendalam pengetahuannya”.

Menurut al-Quran yang disampaikan melalui rasul-rasul ilahi, kejadian manusia mempunyai dua unsur, jasmani dan rohani.

Proses kejadian Nabi Adam as disebutkan dalam al-Quran dengan jelas.

Allah menciptakan Adam daripada air, tanah, pati tanah, tanah yang liat dan sebati, tanah yang panas dan berbau, tanah yang keras seperti tembikar dan tanah daripada bumi.

Seterusnya Allah swt menyebut dalam al-Quran proses kejadian zuriat keturunan Adam as bermula daripada janin dalam perut sehingga penciptaan bentuk manusia.

Setelah sempurnanya penciptaan jasmani manusia, Allah swt meniupkan roh sebagaimana firmannya dalam surah al-Hijr ayat 29 : “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta aku tiupkan padanya ruh ciptaanKu, hendaklah kamu sujud kepadanya”.

Nabi Adam telah mewariskan kepada anak cucu keturunannya tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30 mafhumnya : Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Setelah ditiupkan ruh, Allah memerintahkan para malaikat dan jin bersujud di hadapan Nabi Adam sebagai penghormatan kepada Baginda.

Kesemua malaikat dan jin memberi penghormatan kepada Nabi Adam kecuali azazil.

Azazil adalah golongan jin yang kemudiannya digelar iblis.

Iblis menolak perintah Allah itu.

Dia menyangka dia lebih mulia daripada Adam.

Adam hanya daripada tanah sedangkan iblis dicipta daripada api.

Keangkuhan iblis mengakibatkan kemurkaan Allah. Kerana itu iblis diusir dari syurga.

Iblis lalu bersumpah akan menyesatkan Adam dan keturunannya.

Dalam surah Sad ayat 79 hingga 83, iblis memohon kepada Allah dipanjangkan umur mereka untuk menyesatkan anak Adam.

Mafhumnya : Iblis berkata “Wahai Tuhanku, jika demikian berilah tempoh kepada ku sehingga ke hari mereka dibangkitkan”.

Allah berfirman : “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh hingga masa yang ditetapkan”.

Iblis berkata : “Demi kekuasaanmu wahai Tuhanku, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”.

Allah menciptakan Siti Hawa untuk menemani Nabi Adam.

Hiduplah mereka dengan aman dan bahagia di dalam syurga.

Syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan. Allah mengurniakan nikmatnya yang berlimpah ruah kecuali mendekati pohon yang dilarang.

Iblis yang mengetahui larangan Allah tersebut, berusaha menggoda Nabi Adam dan siti hawa.

Mereka berjaya mendekati Adam dan menggodanya.

Godaan pertama tidak berjaya sehinggalah Siti Hawa terpengaruh.

Siti Hawa seterusnya meyakinkan Nabi Adam supaya mendekati pohon tersebut.

Iblis akhirnya berjaya menunaikan dendamnya apabila Adam dan Hawa berjaya digoda memakan buah khuldi di syurga.

Akibatnya pasangan manusia pertama itu diturunkan ke dunia.

Nabi Adam diturunkan ke arah matahari terbit dan Siti Hawa ke arah matahari terbenam.

Menurut pendapat ahli sejarah Islam, Nabi Adam diturunkan di bukit Serindit, Sri Lanka dan Siti Hawa di Jeddah, Arab Saudi.

Jeddah, perkataan arab yang membawa maksud nenek.

Sempena turunnya Siti Hawa di sini, masyarakat arab menggelarnya jeddah.

Ia terletak kira-kira 70 kilometer dari Mekah.

Mereka terpisah selama 40 tahun.

Dengan kehendak Allah, Nabi Adam dan Siti Hawa menghadapi penderitaan kerana keingkaran mereka terhadap perintah Allah.

Segala penderitaan tersebut merupakan pengajaran kepada keturunan manusia selepas mereka sehingga hari akhirat.

Inilah padang Arafah yang terletak 22 kilometer dari bandar Mekah.

Di sinilah Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu semula.

Arafah bermaksud pertemuan atau perkenalan.

Ia adalah satu tempat yang mesti dikunjungi umat Islam ketika menunaikan ibadat haji.

Ia menjadi satu rukun daripada rukun haji.

Bermula dari gelincir matahari 9 zulhijjah hingga terbit fajar hari 10 zulhijjah, jemaah haji diwajibkan berada di sini walapun untuk seketika.

Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini Allah menerima taubat hambanya.




Di Jabal Rahmah, dibina satu tugu peringatan sebagai tempat Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu.





Setelah bertahun-tahun memohon keampunan dan bertaubat di sini, akhirnya Allah menerima taubat dan dosa mereka diampunkan.

Apabila umat Islam berada di sini, hasrat dan matlamat mereka seperti Nabi Adam dan Siti Hawa.

Memohon keampunan dari Allah dan berharap mereka mendapat haji yang mabrur.

Setelah pertemuan dua insan yang telah lama terpisah ini, bermulalah kehidupan baru bagi mereka.

Dari saat itulah keturunan manusia berkembang.

Nabi Adam as memohon ampun kepada Allah swt di atas kesalahannya.

Setelah Allah memaafkan Nabi Adam dan Siti Hawa, Allah memerintahkannya kekal di bumi dengan memberi pengakuan akan menurunkan petunjuk dan peringatannya.

Sebagaimana mafhum firmannya dalam surah al-a’araaf ayat 24 : Allah berfirman “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan di muka bumi sehingga waktu yang telah ditetapkan”.

Jelaslah, di kalangan manusia di muka bumi ini lahir beberapa orang Rasul sebagai khalifah membawa ajaran Allah supaya manusia tidak tersesat.

Rasul yang menyebarkan wahyu daripada Allah swt sebagai panduan kepada umatnya.

Rasul yang berperanan memimpin umatnya perlulah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup.

Ilmu untuk memimpin manusia supaya tidak tersesat.

Begitulah juga Nabi Adam as yang dianugerahkan Allah swt dengan ilmu pengetahuan.

Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 31 mafhumnya : “Dan Allah mengajarkan Nabi Adam semua nama benda-benda dan kegunaannya..”

Pasangan Nabi Adam dan Siti Hawa dianugerahkan zuriat kembar lelaki dan perempuan iaitu Qabil dan Iqlima.

Kehamilan kedua juga melahirkan kembar lelaki dan perempuan iaitu Habil dan Labuda.

Kehadiran empat orang anak sememangnya memberi keriangan dan kegembiraan bagi Nabi Adam dan Siti Hawa.

Anak-anak inilah yang bakal mewarisi zuriat manusia akan datang.

Di tangan mereka jugalah letaknya tanggungjawab untuk memikul amanah Allah.

Mengikut fitrah anak perempuan, Labuda dan Iqlima patuh membantu Siti Hawa menguruskan keperluan mereka.

Sementara kedua anak lelaki, Habil dan Qabil membanting tulang membantu Nabi Adam.

Qabil mengusahakan pertanian dan Habil menternak binatang.

Setelah masa berlalu sekian lama, Allah memerintahkan Nabi Adam mengahwinkan anak-anaknya.

Qabil akan dikahwinkan dengan Labuda manakala Habil pula akan dinikahkan dengan Iqlima.

Qabil menolak dipasangkan dengan Labuda sebaliknya mahukan Iqlima, kembarnya sendiri lebih cantik.

Adam as menyerahkan hal tersebut kepada Allah lalu mereka diperintahkan menyediakan korban.

Barangsiapa yang diterima korbannya akan diberi hak menentukan jodohnya sendiri.

Habil dengan penuh keikhlasan, mengorbankan ternakannya yang terbaik kepada Allah.

Sebaliknya Qabil hanya menyediakan hasil pertaniannya yang paling rendah mutunya.

Berkat keikhlasan hati Habil, Allah menerima korbannya sekaligus diberi hak memilih bakal isteri.

Kisah mereka disebutkan dalam surah al-Maidah ayat 27 mafhumnya : Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam Habil dan Qabil menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang daripada mereka berdua iaitu Habil dan tidak diterima dari yang lain iaitu Qabil. Qabil berkata : “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil : “Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertaqwa”.

Sejak Nabi Adam diciptakan, fitrah manusia sebagai khalifah Allah tidak pernah berubah.

Al-Quran ada menceritakan ketika Allah menawarkan amanahnya sebagai khalifah Allah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang untuk dipikul, mereka tidak sanggup menerima kerana bimbang gagal menyempurnakannya.

Hanya Adam manusia pertama yang sanggup menerima tanggungjawab yang maha berat itu.

Menurut ulamak, amanah daripada Allah itu adalah dalam bentuk tanggungjawab menegak dan melaksanakan agama Allah di muka bumi sesuai dengan kedudukan manusia yang dianugerahi akal fikiran.

Di kawasan tanah tinggi wadi barada sekitar 50 kilometer dari damascus letaknya makam anak Nabi Adam yang dibunuh saudaranya sendiri.

Di sinilah bersemadinya jasad Habil bin Adam as.

Diceritakan mayat Habil dipikul oleh Qabil dari Jabal Qasyun dan dikebumikan di sini.

Habil berjaya menepati ciri-ciri hamba Allah yang bertakwa.

Berbeza dengan Qabil yang amat tidak berpuas hati dengan ketetapan ilahi.

Lalu iblis mendatangi Qabil.

Kalau di syurga dahulu iblis berjaya menghasut Adam dan Hawa memakan buah khuldi yang terlarang, Qabil pula dipengaruhi supaya menumpahkan darah saudara sendiri.

Qabil bersemuka dengan Habil dengan maksud mahu membunuhnya.

Habil sedikit pun tidak gentar sebaliknya mengingatkan Qabil betapa besarnya dosa dan azab neraka.

Peringatannya kepada Qabil dicatatkan dalam surah al-Maidah ayat 28 hingga 29 mafhumnya :
“Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan mambawa dosa membunuhku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim”.

Qabil enggan menerima hakikat yang dia tidak diizinkan Allah mengahwini saudara kembarnya sendiri.

Iblis lalu mengambil kesempatan.

Dibisikkan hasutan beracun, Habil mesti dihapuskan. Qabil pun hilang pertimbangan. Kewarasannya hilang diselubungi kejahilan.

Pada satu kesempatan, Qabil berjaya melaksanakan rancangannya.

Habil berjaya dibunuh dengan menghempaskan batu ke atasnya sewaktu dia nyenyak tidur.

Itulah tragedi pembunuhan pertama dalam sejarah manusia di muka bumi.

Disebutkan di dalam al-Quran peristiwa berdarah tersebut dan bagaimana Qabil kebingungan, tidak tahu apa yang patut dilakukan dengan mayat adiknya.

Diceritakan Qabil akhirnya mengusung mayat saudaranya ke mana sahaja dia pergi hinggalah dengan takdir Allah, dia menyaksikan dua ekor burung gagak.

Pertarungan itu mengakibatkan salah seekor daripadanya terbunuh.

Qabil memerhatikan perlakuan burung gagak yang menang menguburkan mayat lawannya yang mati.

Burung itu menguis tanah dengan paruh dan kakinya hingga terbentuk lubang lalu menolak bangkai lawannya ke dalam liang yang digali dan dikambusnya.

Ia memberi ilham kepada Qabil bagaimana hendak menguruskan mayat saudaranya Habil.

Al-Quran meriwayatkan peristiwa itu dalam surah al-maidah ayat 30 hingga 31 mafhumnya : Maka hawa nafsu Qabil menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya Habil saudaranya maka jadilah ia di antara orang-orang yang rugi. Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali bumi untuk memperlihatkan kepada Qabil bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya.

Berkata Qabil : “Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?”Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal.

Watak Qabil mempamerkan teladan negatif.

Dia menolak ketetapan Allah tidak boleh berkahwin dengan kembarnya Iqlima yang cantik.

Apabila Allah menyuruhnya menyediakan korban, tanpa keikhlasan Qabil mengorbankan hasil pertanian yang buruk mutunya.

Iblis pula tidak pernah memungkiri janji atau melupakan peranannya untuk terus menyesatkan keturunan Adam sejak pertama kali manusia diciptakan.

Habil bertakwa mangsa keserakahan nafsu saudaranya sendiri.

Takdir Allah itu tentu ada hikmah dan falsafah yang tersembunyi, kisah mereka memberi pengajaran yang pasti.