إعلان

"BAPA MITHALI"



Minggu ini, Al-Kuliyyah akan bersiaran langsung dari Padang MPK2, Kuantan, Pahang.

Sempena sambutan Hari Bapa pada 20 Jun 2010, Ustaz Badli Shah Alauddin (Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang) dan Ustaz Rujhan Mohamed Razali (Pendakwah) akan membincangkan tajuk ‘Bapa Mithali’.

Hari Bapa adalah satu hari untuk kaum lelaki dan ahli keluarga meraikan peranan dan jasa seorang bapa. Dipercayai ia bermula pada awal abad ke-12 Masihi. Hari Bapa disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia dan disambut dengan pelbagai cara termasuk pemberian hadiah, makan di restoran dan sebagainya.

Di Malaysia, Hari Bapa disambut pada hari Ahad yang ketiga di bulan Jun. Antara negara yang menyambut pada tarikh tersebut ialah Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile, China, Colombia, Costa Rica, Cuba, Cyprus, Filipina, Greece, Guyana, Hong Kong, India, Ireland, Jamaica, Jepun, Kanada, Malaysia, Malta, Mauritius, Mexico, Pakistan, Panama, Paraguay, Perancis, Peru, Puerto Rico, Singapura, Slovakia, Sri Lanka, Switzerland, Trinidad dan Tobago, Turki, United Kingdom, Venezuela, Zimbabwe.

Alkuliyyah bakal mengupas mengenai peranan dan tanggungjawab seorang bapa selaku ketua keluarga berdasarkan maksud firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud :”Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”.

Contoh terbaik seorang bapa dan suami adalah Rasulullah S.A.W. dan Baginda bersabda yang bermaksud : "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku". (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)



Perantara Al-Kuliyyah, Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa akan cuba mengajak kedua-dua panelis membincangkan tajuk ini dengan lebih santai dan bermanfaat.

Jangan lupa saksikan siaran langsung Al-Kuliyyah pada Jumaat, 25 Jun 2010 jam 5 hingga 6 petang di TV3.

Datanglah beramai-ramai ke tapak Jom Heboh TV3 di Padang MPK 2 bagi memeriahkan lagi majlis ilmu ini.