SAKSIKAN DOKUMENTARI 'KALAM SYURGA' PADA AHAD, 5 FEBRUARI 2012 JAM 12.30 TENGAHARI DI TV9
Wee Soo Yen, remaja Hokkien kelahiran Bachok, Kelantan amat mencintai Bahasa Arab (Kalam Syurga/Bahasa Syurga). Minatnya berputik setelah dia melihat rakan-rakan beragama Islam mempelajari tulisan Jawi ketika di sekolah rendah.
Pada usia seawal 7 tahun,
Soon Yen mengambil keputusan mengikuti Kelas Fardhu Ain walaupun dia bukan seorang Muslim. Konflik indentiti, berbangsa Cina dan bukan Islam menghantui Soo Yen. Namun, minat Soo Yen terhadap Bahasa Arab tidak pernah padam. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, sebaik sahaja memasuki tingkatan satu , Soo Yen memilih Bahasa Arab Komunikasi sebagai subjek pilihan.
Malangnya dia berdepan halangan daripada kedua orang tua yang bimbang dia akan gagal dalam subjek itu. Namun kali ini Soo Yen tidak berpaling ke belakang, dia nekad meneruskan minatnya. Keazaman Soo Yen membuahkan hasil, dalam tempoh 2 tahun dia boleh bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Arab. Kerisauan Ibubapanya juga berakhir apabila remaja itu memperoleh keputusan 9A dalam PMR 2010.
Malah anak sulung daripada dua orang adik beradik itu ialah calon tunggal bukan Islam berjaya mendapat gred A dalam subjek Bahasa Arab. Ibubapa Soo Yen menerima kejutan kedua, apabila anak perempuan mereka dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 2011.
Kriteria pemilihan Wee Soo Yen untuk menerima anugerah itu, berdasarkan pencapaian dan minatnya terhadap Bahasa Arab.